JALANI HIDUP SENDIRI, BUKAN HIDUP ORANG LAIN

Standard

1

Dalam hidup, pasti kita akan pertemu dan mendengar cerita perjalanan hidup orang lain. Selepas mendengar, akal menafsirkan “kalaulah hidup aku macam dia, mesti bahagia!”

Lintasan sedemikian pernah berlaku dalam hidup anda, bukan?

Kerana saya juga selalu menghadapi perasaan sedemikan.

Yang jika dibiarkan secara berlama, membawa kesan yang membahayakan buat diri.

Iaitu kita mula hidup dengan apa yang orang lain nak, bukan apa yang kita mahu.

Mungkin kita mahukan hasil yang dimililkinya seperti harta yang banyak, isteri yang cantik, urusan yang mudah dan sebagainya.

Tapi apa yang kita tidak ketahui, setiap orang ada jalan hidup yang di dalamnya terhimpun segala suka-duka, jatuh bangun dalam menghadapi hidup yang kita tidak pernah tahu.

Kerana kita hanya mengetahui apa-apa yang baik sahaja yang berlaku.

Kita buka Facebook beliau, dan melihat segala posting kejayaan dan kegembiraan.

Seolah-olah hidupnya tiada siri duka, kegagalan, stress dan kesusahan sebagaimana yang kita hadapi.

Namun, ketahuilah.

Hakikatnya tidak sedemikian, setiap manusia diuji dengan apa kadar yang dia mampu hadapi.

Begitu juga dengan diri kita.

Cipta kejayaan diri sendiri, barulah hidup kita jadi bermakna.

Tidak salah melihat kejayaan orang lain sebagai inspirasi, bagi menolak kita berusaha lebih kuat.

Yang salah adalah kita hanya melihat dan tidak membuat tindakan apa-apa.

Sekadar berangan-angan “Kalaulah aku berjaya macam dia”

Dan kita terus hidup dalam hidup dia dan terlupa untuk melalui perjalanan hidup kita dengan lebih serius dan bersungguh.

Hati-hati.

Moga Allah permudahkan urusan kita semua, untuk hidup lebih baik dan berjaya.

Wallahu a’alam.

5 Pengajaran Bertongkat Selama 30 Hari

Standard

1

5 Pengajaran Bertongkat Selama 30 Hari(15 Jun 2015-14 Julai 2015)
[1] Betapa berharganya nikmat sebuah kaki!

Mungkin setelah sekian lama terlalai dan terlupa. Allah beri sedikit ujian supaya kita makin bersyukur dengan setiap nikmat yang kita miliki.

Benarlah.

Apabila kita terlalu fokus pada permasalahan yang sedia ada, kita sering terlupa untuk fokus pada nikmat yang kita masih ada.

Firman Allah, “Katakanlah, “Dia-lah yang mencipta kan kamu dan menjadikan bagi kamu pendengaran, penglihatan dan hati (akal)”. Tetapi amat sedikit kamu bersyukur.” Al-Mulk:23

[2] Dapat solat berdiri memang lebih nikmat berbanding solat duduk.

Tambahan lagi, solat duduk yang tidak mengizinkan kita untuk bersujud benar-benar memberi satu rasa kehilangan kerana tidak mampu rasa dekat dengan Allah pada waktu sujud itu.
[3] Nikmat dapat berjalan ke masjid atau surau itu begitu berharga.

Dengan kekangan kaki yang sakit dan bertambah bengkak dengan pergerakan yang banyak. Menyebabkan banyak waktu, hanya solat sendiri di rumah. Sekali-sekala dapat berjemaah dengan ahli keluarga. Cuma rasa nikmat itu tidaklah sama dengan solat berjemaah di masjid dengan suasana dan makmumnya yang fokus untuk meraih taqwa!

Dan mungkin juga ganjaran 25/27 kali ganda melalui solat berjemaah juga turut memberi tekanan psikologi.

[4] Memahami bahawa hidup ini tidak boleh berjalan secara sendirian.

Sememangnya manusia memang perlu hidup secara bersosial dan saling membantu dalam setiap perkara kebaikan.

Saya tidak akan mampu hadir ke program atau persembahan Fetya, tanpa pertolongan Ustaz Bilal Jailani yang sudi menjemput di rumah.

Saya tidak akan berjaya menghadiri kursus penulisan dan E-Commerce tanpa bantuan daripada ayah saya, Mohamad Salleh bin Mohamad dan Saudara Muhammad Bin Nasaruddin.

Dan sudah banyak kali, orang tawar untuk membantu.

Tolong bawa jalan-jalan dan hantar ke airport (Ust Azzam and team)
Tolong beli barang untuk bawa pulang ke Malaysia(Ust Rushdan dan Ust Ubaidah)
Tolong tolak wheelchair semasa di airport Dubai dan KLIA(Mr Dennis-Filipina, Mr (terlupa nama)-India, Cik Puan KLIA.)
Tolong bawakan beg (Ustaz Basyari dari Kelantan)
Tolong bawa naik motor tengok orang lain rehlah masyi (Ustaz Wan Hisyam)
Tolong bawa jalan-jalan ke Seremban (Ustaz Izzudin Selamat)
Tolong belanja makan( Ustaz Abdullah Husaini)

Tolong bukakan pintu, tolong sambut saya masa hampir terjatuh, tolong pegangkan tongkat masa naik tangga dan banyak lagi bantuan dari ramai orang yang tidak saya kenali atau kenal sepanjang fasa bertongkat ini.

Terima kasih semua ^_^
Moga Allah ganjari dengan ganjaran yang sebanyaknya.

Masih ada lagi beberapa nama-nama yang turut membantu tapi tidak disebut atau saya telupa, biarlah ia hanya menjadi rahsia anda dengan Allah. Kerana Allah tahu segala-gala yang terlintas dalam hati dan Allah itu Maha Mengetahui!

[5] Sebagaimana berhajatnya saya pada tongkat untuk berjalan, sebagaimana itu jugalah saya perlu sentiasa berhajat pada Allah untuk terus hidup lurus di dunia dan akhirat, bahkan lebih lagi!

Sebab bukan apa, kadang-kadang bila kita sudah lama hidup, kita sudah mula banyak bergantung dari sudut teknikal bagi memastikan sesuatu perkara itu berjaya.

Sehingga kita terlupa untuk turut bergantung pada Allah, kerana Dialah yang memberi hasil yang kita hajati setelah berusaha.

Wallahu a’alam.

Semoga 5 pengajaran ini akan terus tersemat dalam diri dan menjadi satu bekalan untuk diri ini bagiterus meraih taqwa dalam fasa-fasa hidup yang seterusnya.

Terima kasih juga kerana sudi membaca dan moga setiap daripada kita mampu meraih hikmah atas segala apa yang pernah berlaku terhadap diri masing-masing.

Walau perit, walau sakit, walau sengsara.

Pastinya pengalaman itu ada hikmah, andai kita memilih untuk mencari hikmah tersebut. Kalau tidak ketemu pada waktu tersebut, biarkan masa menjadi penentu supaya hikmah itu akan terzahir atau timbul suatu hari nanti.

Bukankah hidup ini sebagai ujian? Terus bersabar dan kuat dalam menghadapi setiap cabaran.

Kerana Allah tidak akan memberi ujian yang kita tidak mampu untuk hadapi.

Maka, beruntunglah mereka yang berjaya dan semoga kita semua tergolong dalam golongan yang berjaya dunia dan akhirat. Amin.

-Hanif MS, 2015-

#hanifms

HIDUP PENUH

Standard

1

HIDUP PENUH

(gambar ehsan: https://stocksnap.io/photo/ZM708TUT6P)

Seringkali dalam hidup, kita mengambil langkah untuk menangguh-nangguhkan sesuatu kerja. Atau, boleh saya katakan, kita meletak syarat dalam membuat sesuatu. Dan selagi mana syarat itu tidak dipenuhi, maka kerja itu akan ditangguhkan sehingga ke suatu masa nanti.

Kita sering meletak syarat untuk hidup penuh. Alasan-alasan seperti “tunggu lepas kahwin, tunggu lepas sudah ada kerja, tunggu saya kaya dulu, tunggu saya sembuh” dan lain-lain yang anda boleh cipta sendiri.

Anda lebih kenal diri anda sendiri, bukan?

Dan sayangnya, sehingga ke hari ini, kita masih lagi tidak membuat sebarang tindakan ke arah apa yang kita citakan itu. Mungkin boleh lihat contoh di bawah, apa yang berlaku dalam diri saya sebelum ini.

Sebagai contoh, saya mahu bersedekah kepada seseorang. Lalu saya mencipta alasan, “Tunggu saya jadi jutawan la, baru saya sedekah.”

Akhirnya jadi jutawan pun tidak, bersedekah apatah lagi.

Kerana hakikatnya boleh sahaja saya bersedekah sekarang tanpa melihat berapa jumlahnya, yang penting buat dulu. Jumlah itu boleh bertambah dengan bertambahnya harta kita pada masa akan datang. InshaAllah!

Sebab risau juga, hanya kerana menanti syarat yang kita letakkan itu, akhirnya kita tidak penuhi langsung hasrat kita setelah sekian lama menunggu.

“Bagaimana pula kalau kita mati keesokan hari?”

Persepsi ini akan membuatkan kita tidak berani lagi untuk bertangguh-tangguh dalam apa jua hal.

Buat salah, segera minta maaf.

Ada kerja, selesaikan segera.

Ada peluang untuk buat kebaikan, buat segera.

Kerana kita hidup untuk hari ini dan belum tentu kita mampu buat apa yang kita harapkan hari ini pada hari esok.

Mungkin itu yang ingin diajarkan oleh Nabi dalam hadis baginda, yang mungkin kita sering terlepas pandang.

Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah saw memegang bahu saya seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada pada waktu pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu”

Sebagai penutup, tak perlu menanti Lailatul Qadar untuk beribadat di sepertiga malam yang terakhir ini.

Wallahu a’alam. Semoga bermanfaat.

-Hanif MS, 2015-

BAGAIMANA MAHU MENGUKUR KEKUATAN UMAT ISLAM YANG SEBENAR?

Standard

1
BAGAIMANA MAHU MENGUKUR KEKUATAN UMAT ISLAM YANG SEBENAR?

Ia bukan diukur dengan berapa banyaknya masjid yang telah didirikan.

Ia bukan diukur dengan betapa ramainya umat Islam yang berselawat beramai-ramai di atas padang atau dewan.

Ia bukan diukur dengan
betapa ramainya umat Islam yang menunaikan haji saban tahun.

Ia juga bukan diukur dengan betapa ramainya umat Islam yang solat di dalam masjid ketika bulan Ramadhan.

Kalau begitu, bagaimana?

Kekuatan umat Islam yang sebenar hanya boleh diukur melalui…

SEJAUH MANA UMAT ISLAM BERSEKONGKOL DENGAN MUSUH SYARIAT ISLAM

Dan pendapat ini telah diutarakan oleh Abul Wafa’ ibnu Ukail, ulama’ Baghdad yang bermazhab Hanbali.

Dan pelajaran ini boleh dilihat di dalam sirah ketika di fasa Mekah.

Bagaimana tidak mahunya umat Islam bersekongkol dengan Kafir Quraisy sehingga disiksa, dibunuh, disula, diboikot dan macam-macam lagi.

Nabi Muhammad pula dituduh sebagai tukang sihir, penyajak, penipu, pembohong, pemecah belah dan ancaman bunuh itu datang saban hari.
Namun perkara itu, tetap tidak melemahkan iman Nabi dan umat Islam fasa Mekah.

Pemandangan ini perlu kita insafi dengan sebenar-benarnya untuk kita sama-sama bermuhasabah.

Sejauh mana kita bersekongkol dengan musuh syariat di bumi Malaysia?

Jawapan itulah yang akan menentukan kekuatan sebenar umat Islam di Malaysia.

-Hanif MS, 2015-

MENCIPTA SEBUAH PERUBAHAN

Standard
Gulf Fritillary (Agraulis vanillae)

Gulf Fritillary (Agraulis vanillae)

Ramai orang takut untuk berubah.

Hal ini kerana perubahan bermakna kita perlu keluar dari kepompong rasa selamat ke suatu daerah yang tiada jaminan. Dan tidak semua orang ada keberanian itu. Seumpama rama-rama yang keluar dari kepompong, cantik di mata, dekat di hati.

Andai kita ada sebuah keberanian , seringkali ia tidak bertahan lama kerana diri tidak sanggup bertahan dalam kesusahan yang dihadapi sepanjang berada di ruang perubahan itu. Dan ini membuatkan kita mula hilang keyakinan terhadap kemampuan diri untuk mengharungi sebuah perubahan.

Tambahan lagi, ada pula kawan-kawan yang mempengaruhi supaya jangan berubah dan hanya statik di tempat itu. Dan ini menguatkan lagi hujah buat diri agar terus kekal dan tidak berubah walaupun diri tahu, untuk maju itu perlu berubah. Susah betul untuk berubah!

Dan kitaran ini akan terus berlaku sehingga kita rasa stress dan tidak merasa sudah hidup dengan sebaik mungkin atas dunia ini, sebagaimana potensi diri yang kita yakin telah sedia ada dalam diri yang hanya perlu untuk diledakkan.

Stress, bukan?

Jadi, saya mahu mencadangkan penyelesaian yang nampak mudah, tetapi ia tetap ada kesusahan yang perlu dilalui dan anda perlu bertahan supaya boleh berjaya. Apa dia?

Berubah sedikit demi sedikit.

Biasa dengar peribahasa Melayu ini, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.”
Bermula dari hari ini, perbaiki hidup 1 peratus setiap hari. Jika kita istiqamah, selepas 30 hari, kita sudah meningkat sebanyak 30 peratus. Selepas 100 hari pula, kita sudah meningkat sebanyak 100 peratus!

Sila gunakan cara ini andai anda orang yang tidak mampu untuk melakukan perubahan dalam skala yang besar dan terus-menerus seperti orang lain. Hal ini kerana, setiap orang berbeza dari sudut ketahanannya.

Kita boleh untuk melihat kejayaan orang lain sebagai inspirasi. Tapi jangan bandingkan kejayaan mereka dengan kejayaan diri kita yang sudah tentu berbeza. Tidak adil bukan, anda membandingkan diri anda yang tidak pandai bercakap di khalayak awam dengan orang yang sudah pakar berucap di khalayak?

Dengan itu, baru anda tidak rasa tertekan dengan sebuah perubahan. Perubahan adalah suatu proses, ada masa kita gagal, ada masa kita Berjaya. Paling penting, teruskan langkahan, kerana setiap langkah itu dinilai oleh Allah apabila kita ikhlas pada-NYA dan mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Mencari Keseimbangan Hidup

Standard

1

MENCARI KESEIMBANGAN HIDUP

Dulu, saya ingat hidup ini mudah.

Hanya jalani sahaja kehidupan dan “enjoy” bak kata orang putih.

Tapi dengan berlalunya masa dan membesar dalam kehidupan, pandangan ini mula berubah.

Kepada “Susah juga kehidupan ini.”

Di sana ada tanggungjawab dan hak diri sendiri yang perlu ditunai, hak orang lain, hak agama dan banyak lagi hak yang perlu dilakukan bagi memastikan hidup ini penuh makna.

Dan dengan banyakknya hak yang perlu ditunaikan ini, boleh membuat jiwa jadi stress dan tak keruan.

Hanya apabila kita tidak berjaya menguruskan ia dengan baik.

Dan kata kuncinya adalah keseimbangan.

Semua sedia maklum, tenaga kita ini terbatas.

Kita hanya ada dua tangan, dua telinga, dua mata, dua kaki dan satu mulut.

Dan tak semua hak mampu ditunaikan dalam satu-satu masa, kalau mampu, kita memang bukan seorang manusia. Haha.

Dari setiap hari kita belajar mengurus dan setiap hari kita perlu belajar bagaimana mahu meningkatkan lagi kualiti hidup kita ke arah yang lebih baik.

Akhir kata, keseimbangan itu adalah suatu proses.

Terus sabar dalam belajar dan minta nasihat dari orang yang sudah berpengalaman.

Sebagai contoh, ibu dan ayah kita atau rakan-rakan yang lebih berumur.

Supaya hidup kita lebih seimbang dan semua hak mampu ditunaikan sebaiknya.

Sehingga kita layak meraih syurga Allah yang tertinggi.

Mudah-mudahan. Semoga bermanfaat.

-Hanif MS, 2015-

Masalah Belajar

Standard

1

Masalah Belajar.

Sejujurnya saya kurang suka belajar.

Saya lebih suka pada melihat perkara visual.

Iaitu menonton rancangan TV atau Youtube.
Mungkin dengan ada kemudahan ini, saya lebih suka pada perkara yang senang.

Dan bila ada sedikit kesukaran, saya cenderung untuk tidak meneruskannya.

Lama-kelamaan ia mula menjadi tabiat dalam hidup saya.
Dan sikap ini membuatkan saya sukar mendapat kejayaan yang lebih besar.

Kerana kejayaan yang besar menuntut untuk kita menempuhi sedikit kesusahan.

Yang pada pandangan saya, merupakan satu yang melecehkan.
Tapi, kalau saya tidak mengubah tabiat ini.

Saya akan tetap berada dalam takungan yang sama dan tidak berkembang.

Perlu teruskan tabiat ini atau berubah?

Apa pendapat anda?