MENCARI HIKMAH
Setiap peristiwa yang berlaku itu pasti ada hikmah Allah yang datang bersamanya.
Cuma kelemahan kita sebagai seorang manusia, adalah kita tidak mampu melihat hikmah-NYA itu kerana pengetahuan dan pancaindera yang terbatas.
Lalu, cukuplah ayat ini menjadi penenang buat kita dalam mengharungi sebuah kehidupan yang ada naik dan turunnya.
“dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
-Al-Baqarah: 216-
Namun, tidak bermakna kita hanya perlu bersikap pasrah tanpa melakukan apa-apa dan membiarkan takdir itu yang berjalan.
Hal ini kerana sesuatu peristiwa yang berlaku adalah biasanya berkadaran melalui usaha-usaha yang telah kita lakukan.
Dan kita juga dituntut untuk mencari asbab untuk berjaya.
Sebagai contoh,
Belajar bersungguh-sungguh, berjaya di dalam peperiksaan.
Tak belajar, gagal di dalam peperiksaan.
Namun begitu, penentu akhirnya adalah tetap Allah SWT.
Kerana padaNya ada ketetapan yang tertinggi.
Walau usaha kita berkadaran ataupun tidak dalam menghasilkan natijah itu.
Tiada siapa yang tahu apakah hasil natijah terakhir melalui usaha yang sedang kita lakukan.
Namun sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk terus berusaha dan bertawakal selepas penghabisan berusaha.
Dan menyerahkan keputusannya pada Allah yang akan menentukan keputusan yang terbaik buat diri kita.
Kerana Allah LEBIH TAHU apa yang LEBIH BAIK buat diri kita.
Wallahu a’alam.