MENCIPTA SEBUAH PERUBAHAN

Standard
Gulf Fritillary (Agraulis vanillae)

Gulf Fritillary (Agraulis vanillae)

Ramai orang takut untuk berubah.

Hal ini kerana perubahan bermakna kita perlu keluar dari kepompong rasa selamat ke suatu daerah yang tiada jaminan. Dan tidak semua orang ada keberanian itu. Seumpama rama-rama yang keluar dari kepompong, cantik di mata, dekat di hati.

Andai kita ada sebuah keberanian , seringkali ia tidak bertahan lama kerana diri tidak sanggup bertahan dalam kesusahan yang dihadapi sepanjang berada di ruang perubahan itu. Dan ini membuatkan kita mula hilang keyakinan terhadap kemampuan diri untuk mengharungi sebuah perubahan.

Tambahan lagi, ada pula kawan-kawan yang mempengaruhi supaya jangan berubah dan hanya statik di tempat itu. Dan ini menguatkan lagi hujah buat diri agar terus kekal dan tidak berubah walaupun diri tahu, untuk maju itu perlu berubah. Susah betul untuk berubah!

Dan kitaran ini akan terus berlaku sehingga kita rasa stress dan tidak merasa sudah hidup dengan sebaik mungkin atas dunia ini, sebagaimana potensi diri yang kita yakin telah sedia ada dalam diri yang hanya perlu untuk diledakkan.

Stress, bukan?

Jadi, saya mahu mencadangkan penyelesaian yang nampak mudah, tetapi ia tetap ada kesusahan yang perlu dilalui dan anda perlu bertahan supaya boleh berjaya. Apa dia?

Berubah sedikit demi sedikit.

Biasa dengar peribahasa Melayu ini, “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.”
Bermula dari hari ini, perbaiki hidup 1 peratus setiap hari. Jika kita istiqamah, selepas 30 hari, kita sudah meningkat sebanyak 30 peratus. Selepas 100 hari pula, kita sudah meningkat sebanyak 100 peratus!

Sila gunakan cara ini andai anda orang yang tidak mampu untuk melakukan perubahan dalam skala yang besar dan terus-menerus seperti orang lain. Hal ini kerana, setiap orang berbeza dari sudut ketahanannya.

Kita boleh untuk melihat kejayaan orang lain sebagai inspirasi. Tapi jangan bandingkan kejayaan mereka dengan kejayaan diri kita yang sudah tentu berbeza. Tidak adil bukan, anda membandingkan diri anda yang tidak pandai bercakap di khalayak awam dengan orang yang sudah pakar berucap di khalayak?

Dengan itu, baru anda tidak rasa tertekan dengan sebuah perubahan. Perubahan adalah suatu proses, ada masa kita gagal, ada masa kita Berjaya. Paling penting, teruskan langkahan, kerana setiap langkah itu dinilai oleh Allah apabila kita ikhlas pada-NYA dan mengikut apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Selamat mencuba dan semoga bermanfaat.

Mencari Keseimbangan Hidup

Standard

1

MENCARI KESEIMBANGAN HIDUP

Dulu, saya ingat hidup ini mudah.

Hanya jalani sahaja kehidupan dan “enjoy” bak kata orang putih.

Tapi dengan berlalunya masa dan membesar dalam kehidupan, pandangan ini mula berubah.

Kepada “Susah juga kehidupan ini.”

Di sana ada tanggungjawab dan hak diri sendiri yang perlu ditunai, hak orang lain, hak agama dan banyak lagi hak yang perlu dilakukan bagi memastikan hidup ini penuh makna.

Dan dengan banyakknya hak yang perlu ditunaikan ini, boleh membuat jiwa jadi stress dan tak keruan.

Hanya apabila kita tidak berjaya menguruskan ia dengan baik.

Dan kata kuncinya adalah keseimbangan.

Semua sedia maklum, tenaga kita ini terbatas.

Kita hanya ada dua tangan, dua telinga, dua mata, dua kaki dan satu mulut.

Dan tak semua hak mampu ditunaikan dalam satu-satu masa, kalau mampu, kita memang bukan seorang manusia. Haha.

Dari setiap hari kita belajar mengurus dan setiap hari kita perlu belajar bagaimana mahu meningkatkan lagi kualiti hidup kita ke arah yang lebih baik.

Akhir kata, keseimbangan itu adalah suatu proses.

Terus sabar dalam belajar dan minta nasihat dari orang yang sudah berpengalaman.

Sebagai contoh, ibu dan ayah kita atau rakan-rakan yang lebih berumur.

Supaya hidup kita lebih seimbang dan semua hak mampu ditunaikan sebaiknya.

Sehingga kita layak meraih syurga Allah yang tertinggi.

Mudah-mudahan. Semoga bermanfaat.

-Hanif MS, 2015-

Masalah Belajar

Standard

1

Masalah Belajar.

Sejujurnya saya kurang suka belajar.

Saya lebih suka pada melihat perkara visual.

Iaitu menonton rancangan TV atau Youtube.
Mungkin dengan ada kemudahan ini, saya lebih suka pada perkara yang senang.

Dan bila ada sedikit kesukaran, saya cenderung untuk tidak meneruskannya.

Lama-kelamaan ia mula menjadi tabiat dalam hidup saya.
Dan sikap ini membuatkan saya sukar mendapat kejayaan yang lebih besar.

Kerana kejayaan yang besar menuntut untuk kita menempuhi sedikit kesusahan.

Yang pada pandangan saya, merupakan satu yang melecehkan.
Tapi, kalau saya tidak mengubah tabiat ini.

Saya akan tetap berada dalam takungan yang sama dan tidak berkembang.

Perlu teruskan tabiat ini atau berubah?

Apa pendapat anda?

Mencari Hikmah

Standard

1

MENCARI HIKMAH

Setiap peristiwa yang berlaku itu pasti ada hikmah Allah yang datang bersamanya.

Cuma kelemahan kita sebagai seorang manusia, adalah kita tidak mampu melihat hikmah-NYA itu kerana pengetahuan dan pancaindera yang terbatas.

Lalu, cukuplah ayat ini menjadi penenang buat kita dalam mengharungi sebuah kehidupan yang ada naik dan turunnya.

“dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

-Al-Baqarah: 216-

Namun, tidak bermakna kita hanya perlu bersikap pasrah tanpa melakukan apa-apa dan membiarkan takdir itu yang berjalan.

Hal ini kerana sesuatu peristiwa yang berlaku adalah biasanya berkadaran melalui usaha-usaha yang telah kita lakukan.

Dan kita juga dituntut untuk mencari asbab untuk berjaya.

Sebagai contoh,

Belajar bersungguh-sungguh, berjaya di dalam peperiksaan.

Tak belajar, gagal di dalam peperiksaan.

Namun begitu, penentu akhirnya adalah tetap Allah SWT.

Kerana padaNya ada ketetapan yang tertinggi.

Walau usaha kita berkadaran ataupun tidak dalam menghasilkan natijah itu.

Tiada siapa yang tahu apakah hasil natijah terakhir melalui usaha yang sedang kita lakukan.

Namun sebagai seorang muslim, kita dituntut untuk terus berusaha dan bertawakal selepas penghabisan berusaha.

Dan menyerahkan keputusannya pada Allah yang akan menentukan keputusan yang terbaik buat diri kita.

Kerana Allah LEBIH TAHU apa yang LEBIH BAIK buat diri kita.

Wallahu a’alam.

Menuju Akhirat Yang Pasti

Standard

1

Menuju Akhirat Yang Pasti

Kehidupan di dunia ini bersambung dengan akhirat.

Menyedari hakikat ini, kita tidak akan bermudah-mudah semasa hidup di dunia ini.

Kerana.

Segala perbuatan.
Segala perilaku.
Segala keputusan yang diambil.

Dan segala-segalanya.

Akan dihitung oleh Allah Yang Maha Adil dan akan dibentangkan segalanya di akhirat kelak.
Ada yang menyangka kematian itu adalah suatu penamat yang pasti.
Rupanya bukan.
Kerana dia akan melalui alam kubur yang pasti.

Sebelum dibangkitkan semula menghadapi akhirat yang penuh mendebarkan, buat mereka yang tidak pernah menanam amal semasa di dunia.
[6] Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) – untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
[7] Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8]Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

-Surah Al-Zalzalah-

Di akhirat.
Tiada lagi kezaliman yang berlaku seperti di dunia.

Kerana hakimnya adalah Allah.
Dan tiada lagi saksi.
Melainkan anggota badanmu yang dipinjamkan.

Ketika itu.
Mulut terkunci tiada mampu berbicara.
Tanganmu mampu mengatakan apa yang telah diperbuat.
Matamu mampu mengatakan apa yang telah dilihat.
Kakimu mampu mengatakan ke mana telah kamu pergi semasa hayatmu di dunia itu.

Sejauh mana kita telah membuat persiapan untuk menghadapi hari itu?

Oleh itu,
Sementara kita masih di dunia.
Yang tiada siapa tahu seberapa lama tempohnya.

Mari kita mengambil bekal.
Supaya mampu menembusi syurga dan dijauhkan daripada neraka yang panas menjulang.

-Hanif MS, 2015-