HIDUP PENUH
(gambar ehsan: https://stocksnap.io/photo/ZM708TUT6P)
Seringkali dalam hidup, kita mengambil langkah untuk menangguh-nangguhkan sesuatu kerja. Atau, boleh saya katakan, kita meletak syarat dalam membuat sesuatu. Dan selagi mana syarat itu tidak dipenuhi, maka kerja itu akan ditangguhkan sehingga ke suatu masa nanti.
Kita sering meletak syarat untuk hidup penuh. Alasan-alasan seperti “tunggu lepas kahwin, tunggu lepas sudah ada kerja, tunggu saya kaya dulu, tunggu saya sembuh” dan lain-lain yang anda boleh cipta sendiri.
Anda lebih kenal diri anda sendiri, bukan?
Dan sayangnya, sehingga ke hari ini, kita masih lagi tidak membuat sebarang tindakan ke arah apa yang kita citakan itu. Mungkin boleh lihat contoh di bawah, apa yang berlaku dalam diri saya sebelum ini.
Sebagai contoh, saya mahu bersedekah kepada seseorang. Lalu saya mencipta alasan, “Tunggu saya jadi jutawan la, baru saya sedekah.”
Akhirnya jadi jutawan pun tidak, bersedekah apatah lagi.
Kerana hakikatnya boleh sahaja saya bersedekah sekarang tanpa melihat berapa jumlahnya, yang penting buat dulu. Jumlah itu boleh bertambah dengan bertambahnya harta kita pada masa akan datang. InshaAllah!
Sebab risau juga, hanya kerana menanti syarat yang kita letakkan itu, akhirnya kita tidak penuhi langsung hasrat kita setelah sekian lama menunggu.
“Bagaimana pula kalau kita mati keesokan hari?”
Persepsi ini akan membuatkan kita tidak berani lagi untuk bertangguh-tangguh dalam apa jua hal.
Buat salah, segera minta maaf.
Ada kerja, selesaikan segera.
Ada peluang untuk buat kebaikan, buat segera.
Kerana kita hidup untuk hari ini dan belum tentu kita mampu buat apa yang kita harapkan hari ini pada hari esok.
Mungkin itu yang ingin diajarkan oleh Nabi dalam hadis baginda, yang mungkin kita sering terlepas pandang.
Dari Ibnu Umar radhiallahuanhuma berkata : Rasulullah saw memegang bahu saya seraya bersabda : “Jadilah engkau di dunia seakan-akan orang asing atau pengembara”, Ibnu Umar berkata : “Jika kamu berada pada waktu petang hari jangan tunggu pagi hari, dan jika kamu berada pada waktu pagi hari jangan tunggu petang hari, gunakanlah kesihatanmu untuk (persiapan saat) sakitmu dan kehidupanmu untuk kematianmu”
Sebagai penutup, tak perlu menanti Lailatul Qadar untuk beribadat di sepertiga malam yang terakhir ini.
Wallahu a’alam. Semoga bermanfaat.
-Hanif MS, 2015-